top of page

Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam merupakan anak jati negeri Melaka. Beliau dilahirkan pada 24 Ogos tahun 1949 di Kampung Bukit Katil, Melaka. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Katil dan Sekolah Kebangsaan Semabok. Tun Ali kemudian meneruskan pengajiannya di Sekolah Tinggi Melaka (Melaka High School). Beliau berkelulusan Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1984.

​

Beliau telah mendirikan rumahtangga bersama Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abd. Rahman yang berasal dari Muar pada tahun 1985 dan dikurniakan tiga cahayamata iaitu dua lelaki dan seorang perempuan. Gelaran yang diterima atas sumbangannya ialah D.G.S.M yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun 2001, D.C.S.M pada tahun 1995, D.M.S.M yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1990, D.S.M tahun 1989 dan P.B.M tahun 1979. Serta dikurniakan gelaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun pada tahun 2020 oleh YDPA.

​

Tun Mohd Ali Rustam pernah menerajui Belia 4B Malaysia, Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Presiden World Youth Foundation (WYF) dan World Assembly of Youth (WAMY) serta beberapa pertubuhan dan badan bukan kerajaan yang lain. Beliau adalah seorang idealis yang praktikal, berpendirian tegas, berani, cekal, yakin dengan kebolehan diri sendiri dan percaya tidak ada apa yang sukar dilakukan sekiranya ada usaha yang bersungguh-sungguh. Maka tidak hairanlah sejak di bawah kepimpinan beliau Melaka telah berjaya sebagai salah negeri yang pesat membangun. 

bottom of page